Share

Shh... ( BAHASA MALAYSIA )
Shh... ( BAHASA MALAYSIA )
Author: Halima Abdul Muis

01

Bebas itu membawa banyak makna. Akan tetapi setelah semuanya terjadi, apakah mungkin ia lebih bererti sedangkan diri masih dibelenggu dek trauma yang menghantui?

PAPAN tanda yang tertera 'Mahligai Seri Pelangi' itu dipandangnya dengan beraneka perasaan. Ingin sahaja dia mengalirkan air mata di situ tetapi sempat pula kesumat dendamnya menepis.

Apakah individu berkenaan gembira?

Ya. Tersangat gembira kerana dia telah bebas daripada kurungan mimpi buruk bak neraka tersebut.

Dia berjanji tidak akan sesekali menjejakkan kaki ke tempat itu lagi!

"Fio, kita kena pergi sekarang." Sebuah suara kepunyaan Ezz menusup masuk ke corong telinga. Si empunya nama sempat mengusap kelopak matanya sebelum dia masuk ke dalam perut van.

Sepanjang perjalanan, mereka hanya senyap sehinggalah seseorang mula bertanya.

"Fio, apa yang telah terjadi dalam mahligai itu?"

Sepi. Tiada langsung balasan mahu pun respon daripada si gadis. Ezz mengerti akan trauma yang dialami oleh si teman baik.

"Uncle Riz, ada baiknya kita lupakan saja pasal hal itu. Fio perlukan masa untuk menerima segala apa yang telah menimpa dia dan penghuni Mahligai Seri Pelangi."

Uncle Riz mengeluh kesal. Namun, dia hanya mampu menurut lantas menyambung pemanduannya dengan tenang.

*****

PINGGAN yang telah dicuci, Iman susun elok-elok di atas rak. Selepas itu, dia menyambung kerjanya untuk mengemop lantai.

"Kak Iman..." Namanya dipanggil oleh seseorang.

"Ya, Faiz. Akak tengah mengemop lantai ni. Jangan ke sini."

Namun, budak lelaki yang berumur sembilan tahun itu tidak mengendahkan tegahan Iman.

Buk! Faiz tergelincir sebaik berlari di lantai jubin yang licin tersebut.

"Faiz!" Terlepas mop di tangan, tubuh kecil itu dipeluknya.

"Huargh, kakak! Kepala Faiz sakit!"

Tangisan bergema ke segenap penjuru panti asuhan berkenaan.

Iman cuba memujuk Faiz sambil menggosok kepalanya beberapa kali.

"Iman!!" Tersentak si empunya nama. Gigil tubuh semakin ketara lantas pelukan terhadap Faiz diperketatkan.

"Hei, anak pungut! Apa yang kau dah buat pada Faiz, ha!"

"Maaf, kak. Iman tak buat apa-apa pada Faiz. Tadi dia terjatuh masa Iman mopkan lantai ni."

Telinga Iman dipulas kuat di sebalik tudung. Maka terjeritlah dia kesakitan.

"Aduh, kak. Sakit!"

"Ha, tahu pun sakit. Jadi jangan cuba-cuba nak menipu aku!"

Faiz juga semakin menangis tatkala melihat wanita itu memarahi salah seorang kakak kesayangannya.

"Aku dah bagitahu peraturan dalam mahligai ni, kan? Aku tak suka dengar budak-budak menangis. Kau ni faham atau tidak!"

Kepala Iman diketuk menggunakan sudip yang sempat dicapai oleh wanita tersebut. Kemudian, tubuhnya ditolak kasar ke lantai.

Faiz memeluk kaki si penjaga mereka.

"Akak, janganlah marahkan Kak Iman. Dia tak salah!"

"Kau ni pun satu. Jangan nak peluk-peluk akulah!"

Belakang badan Faiz ditampar beberapa kali sebelum Iman menariknya ke dalam pelukan.

"Kau ingat, eh. Jangan bagitau pasal benda ni dengan Kak Shida. Kalau tak, teruk kau orang berdua aku kerjakan!"

Penjaga tadi keluar dari ruang dapur itu dengan membawa amarah yang masih menggelegak.

"Faiz tak apa-apa?"

"Faiz okey. Cuma kepala Faiz masih sakit, kak."

Iman menggosok belakang Faiz yang ditampar seketika tadi. Sekejap lagi, dia akan menggosok minyak angin di situ seperti selalunya.

"Iman, Faiz..." Kedua-dua orang itu berpaling. Tubuh mereka serentak didakap erat.

"Akak nampak apa yang dia buat pada kamu berdua, sayang..." ujar Fio spontan. Air matanya turut sama mengalir deras.

"Kak Iman, Kak Fio... Faiz nak keluar dari sini. Faiz dah tak tahan lagi kena pukul hari-hari."

Iman dan Fio berpandangan beberapa detik.

"Faiz sabar ya, sayang? Akak Fio janji yang akak akan bawa kau orang semua keluar dari sini."

Faiz meleraikan pelukan. Sisa-sisa air mata pantas dilap menggunakan bajunya.

"Betul ni, Kak Fio?" Mata Faiz seakan bersinar-sinar dek teruja.

Fio mengangguk sahaja.

Buat masa ini, dia hanya mampu berjanji. Tetapi tentu sahaja akan dia tunaikan pada suatu masa nanti walaupun pelbagai halangan yang mereka semua akan lalui.

Dia tidak mahu budak yang seusia Faiz menerima layanan buruk sebegini lagi.

*****

SEBAIK sahaja kenderaan tersebut tiba di sebuah vila yang berukiran Inggeris, Ezz mengejutkan Fio yang telah terlelap sepanjang perjalanan tadi.

"Mari, Fio. Aku tunjukkan di mana bilik kau." Ezz mendahulukan langkahnya untuk masuk ke dalam sambil dibuntuti oleh Fio.

Pintu kamar yang bercorak geometri dimasuki lantas suis lampu bilik tersebut dihidupkan. Di situ kelihatan sebuah katil single, dua buah almari serta terdapat juga sebuah meja belajar.

"Ini bilik kau, Fio. Bilik aku pulak di sebelah kanan bilik ni. Em... kau rehatlah dulu. Kalau ada apa-apa yang kau nak, kau boleh panggil aku. Okey?"

Fio hanya mengangguk dan beriak biasa.

Sebaik Ezz menghilang di sebalik pintu, Fio duduk di birai katil. Tanpa diundang, bayangan ngeri itu bertamu lagi. Ia menari-nari di benak serta pandangan si gadis.

Seolah-olah, peristiwa tersebut diulang tayang di depan matanya.

Dia mula memeluk lutut sambil mengesat kristal jernih yang berlumba-lumba turun ke pipi.

"Iman, maafkan aku sebab tak dapat selamatkan kau dan kawan-kawan kita yang lain..."

Sendu. Fio melempiaskan isi hati melalui linangan air mata. Sungguh mendalam impaknya daripada tragedi tersebut.

"Kalaulah aku tak tinggalkan kau berseorangan masa tu... mungkin sekarang ni, kau masih ada dengan aku."

Gambaran seorang gadis yang berusia 15 tahun sedang berlegar-legar di kornea mata. Fio tidak sanggup untuk mengingati ia kembali.

"Iman, aku minta maaf!" jeritnya kuat sebelum matanya terkatup rapat.

*****

"ALAMAK, Fio. Bulu tangkis tu dah termasuk dalam bumbung lotenglah. Macam mana ni?"

"Aduh, Iman. Habislah kita kalau Kak Shita tahu. Mesti dia bising. Kita kan tak dibenarkan masuk ke dalam loteng tu walau apa pun yang terjadi."

"Ya, aku tahu itu. Tapi raket dan bulu tangkis ni kan adalah hadiah daripada arwah Cikgu Shida pada kau. Err... aku jadi serba salahlah pulak."

Fio menepuk bahu kanan Iman dengan perlahan.

"Tak mengapa, Iman. Lupakanlah pasal tu. Janji kita tak langgar peraturan mahligai ni."

"Err.... betul ke kau tak marah?" soal Iman yang inginkan sebuah kepastian.

Fio mengangguk sambil tersenyum.

"Dah, jom kita masuk. Dah nak maghrib ni. Tak elok kita duduk di luar mahligai lama-lama."

Iman memeluk bahu si sahabat baik sambil beriringan masuk ke dalam mahligai.

*****

"IMAN!" Dia bangkit daripada pembaringan secara mendadak. Air masin yang keluar dari liang romanya telah membasahi baju.

"Syukurlah kau dah bangun, Fio. Sekarang dah masuk maghrib ni. Kau pergi mandi dan solat dulu. Lepas tu, kita makan malam sama-sama."

Tiada respon. Hal itu mengakibatkan Ezz menyentuh lengan Fio.

"Hei, Fio. Kenapa ni?"

Fio masih tercungap-cungap mengatur nafas. Dia seolah-olah baru selesai marathon keliling padang.

"Kau mimpi pasal benda tu lagi?" soal Ezz seolah-olah dapat menghidu kegelisahan yang melanda diri Fio.

Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Fio statik tiada bertindak balas. Hanya bebola matanya sahaja yang berguling ke sana, ke sini.

"Hmm... kalau kau bersedia nak cerita dekat aku pasal kejadian tu, aku akan dengar sampai habis."

Ezz sebenarnya berharap sangat agar Fio membuka mulut mengenai peristiwa misteri yang berlaku di rumah kebajikan anak-anak yatim berkenaan.

Namun dia sedar, paksaan bukanlah cara yang bijak. Justeru, perkara itu akan lebih menyebabkan efek trauma yang dialami oleh Fio semakin berakar.

Baru sahaja Ezz ingin berdiri, lengan kirinya dipegang oleh Fio.

"Ezz, bukan... aku... yang... bunuh... Iman.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status