Share

02

Kaki terasa berat seperti ada rantai besi yang terikat ketat di situ. Sehingga ingin melangkah pergi sahaja, tidak boleh...

UNCLE RIZ sedang meningkatkan nada pembesar suara agar lebih lantang lagi. Dia ingin mengenal pasti maklumat dan juga informasi berkaitan dengan Mahligai Seri Pelangi itu.

"Hari ini, secara rasminya Mahligai Seri Pelangi ditutup serta-merta. Segala kejadian misteri yang berlaku dan kematian 28 orang penghuni rumah berkenaan masih dalam siasatan..." 

Seseorang yang memanggil namanya telah memancing fokus dari kaca televisyen.

"Uncle Riz, Fio dah mula bercakap...'

Lelaki itu mengajak Ezz untuk duduk di sofa sebelah kiri sambil menanti sambungan ceritanya.

"Fio cakap apa saja pada kamu, Ezz?"

"Hmm. Dia tak banyak kata. Cuma dia asyik ulang ayat yang sama..."

Ezz melipat tangan ke dada. Benaknya masih ditimbuni jutaan tanda tanya.

Begitu juga dengan Uncle Riz, dahinya turut bergaris, "Maksud kamu?"

Si anak buah bersabung mata dengan sang pak cik seraya bersuara, "Bukan Fio yang bunuh Iman..."

*****

PUKUL 12 tengah malam adalah waktu yang sesuai untuk manusia berdayung ke pulau mimpi. Tetapi ia tidak berlaku kepada Fio.

Di sebalik gebar itu, bayangan ngeri tersebut muncul kembali. Ditambah lagi dengan suasana kelam di dalam bilik, keadaan tersebut semakin mencungkil ketakutannya.

Peluh membasahi wajah. Rambut pula menjadi serabai. Semua itu, langsung tidak dia endahkan. Yang dia tahu, dirinya sedang diperhatikan dek 'sesuatu'.

Tiba-tiba...

Krek!

Bunyi daun pintu yang ditolak dari luar menyentak akan diri Fio. Dia lantas bangkit dari pembaringan.

"Siapa itu? Kau ke, Ezz?" tanyanya pula.

Malang sekali, tiada kelibat Ezz di sana. Kedua kaki Fio sudah menjejak ke lantai kamar sebelum perlahan-lahan mendekati pintu.

Nafasnya tidak teratur. Tetapi si gadis memberanikan diri untuk mengintai keluar.

Beberapa detik kemudian, kemunculan sosok wanita tanpa wajah memeranjatkan Fio. Dia terjerit ketakutan.

Aneh sekali, tiada seorang pun penghuni rumah itu menyedari akan jeritannya.

Makhluk tadi merayap sambil menghampiri Fio. Manakala dia pula berusaha untuk melarikan diri.

Segala perkakas dan benda yang dia capai, dibaling ke arah entiti itu. Sehinggalah jeritan Fio terhenti apabila sepasang tangan yang pucat menutup mulutnya dari arah belakang.

Tidak habis di situ sahaja, rambut Fio ditarik dek 'sesuatu' menuju ke arah sebuah peti usang yang telah berkarat.

Fio menyedari akan benda alah itu. Maka dia sedaya upaya untuk tidak dimasukkan ke dalam sana.

Penutup peti terbuka sendiri. Ia semakin menggerunkan apabila beberapa pasang tangan serentak menggapainya.

Fio hanya mampu meraung dalam hati. Air matanya mengalir laju. Tiada yang tahu bahawa dia telah berada di dalam peti berkenaan.

Hanya doa dipohon agar Ezz dan Uncle Riz menyedari ketiadaannya kelak.

*****

JARUM jam telah menunjukkan pukul 7.38 pagi. Sinaran ultraungu semakin memancar masuk ke setiap pelosok vila.

Selepas menyiapkan sarapan pagi, Ezz menuju ke bilik Fio.

"Fio, bangun. Mari kita bersarapan sama-sama."

Sunyi. Tiada satu pun sahutan dari dalam. Ezz mula risau lantas tombol pintu dipulas seraya dibuka.

"Fio?" Segenap penjuru kamar diperhatikan. Namun, kelibat yang dicari tidak ditemui.

Ezz dihurung rasa cemas.

"Uncle Rizz, Fio tak ada dalam bilik dia!"

Beberapa ketika, jeritan gadis itu bergema ke serata kediaman yang berbatu-bata berkenaan.

"Apa maksud kamu, Ezz?" Pak ciknya muncul di sebalik pintu.

Nampak sangat lelaki tersebut berlari dalam keadaan yang kelam-kabut.

Tercungap-cungap dia mengatur nafas.

"Fio dah hilang, uncle. Macam mana ni?"

"Ah, tak mungkinlah. Uncle yakin dia masih berada dalam rumah ni. Cuma kita saja yang tak nampak kelibat dia."

"Maksud uncle?" Ezz ingin tahu. Tetapi lelaki tadi hanya diam membisu sambil menggeledah sekitar ruangan tersebut.

Dia sangat yakin akan keberadaan Fio yang masih wujud di dalam vila. Kerana dia berjaga sepanjang malam demi memastikan keadaan mereka aman senantiasa.

Tetapi hatinya mula gusar. Takkanlah 'benda itu' boleh menyelinap masuk dan melakukan sesuatu terhadap Fio?

Mustahil!

Atau pun, jika firasatnya tidak salah... mungkin saja Fio 'disorokkan'. Begitu fikirnya.

"Uncle nak buat apa selongkar bilik ni?" 

"Uncle nak cari Fio. Uncle dapat rasakan yang dia masih ada di sini. Cuma kita saja yang tidak nampak."

Mendengarkan kata-kata itu, Ezz turut sama membantu pak ciknya untuk mencari Fio.

*****

KELUHAN berat bercampur kerisauan yang menggunung terluah jua dari bibir Ezz.

"Uncle Riz, macam mana ni? Tak jumpa pun... Fio."

Lelaki tadi masih melakukan aktivitinya. Tidak kisah akan penat lelah yang hampir setengah hari menyelongkar segala perkakas serta susun atur vila berkenaan.

Uncle Riz menghentikan aktivitinya apabila gear otak dihinggapi dek sebuah ilham. Dia berlalu ke bilik air.

Seusai air sembahyang membasahi kulit, lelaki yang berusia 30 tahun itu masuk kembali ke dalam bilik Fio.

"Allahuakbar! Allahuakbar!"

Suara azan berkumandang.

Ezz pula memerhati ke sekitar ruangan. Belum lagi selesai pak ciknya mengazan, muncul titisan merah likat dari salah satu sudut bilik.

"Uncle Riz, tengok tu!" Ezz menutup mulutnya pantas. Matanya terbeliak.

Lelaki tersebut turut terperanjat apabila melihat 'kemunculan' Fio yang telah bersimbah darah.

"Ya Allah, Fio!" ucapnya lantang sebelum membalut tubuh Fio dengan gebar.

Perigi benaknya puas digali untuk mencari tahu apa sebenarnya yang telah terjadi terhadap gadis tersebut.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status