Share

03

Perkara aneh dan pelik itulah menyebabkan diri terpancing keluar dari zon selesa untuk mencari tahu. Persoalannya... apa yang telah terjadi sebelum ini?

FAJAR menyinsing membentangi cakerawala. Tatapan si gadis seolah-olah menembusi lapisan langit. Fikirannya menerawang keluar dari atmosfera bumi.

Dia bukan berkhayalkan kisah dongeng persis putera dan puteri yang menemui cinta sejati mereka. Namun, kejadian yang terjadi kepadanya sejak semalam sehingga ke pagi tadi amat memberi pukulan impak yang berbekas.

"Tolong aku. Aku tak nak mati lagi!"

Begitulah raungannya sebaik ditarik masuk ke dalam peti misteri.

Ingin meratap. Malang sekali, kolam airmatanya seumpama gersang dek dibelenggu bayangan yang sungguh menakutkan.

Kelopak mata dipejam celik beberapa kali, tetapi bayangan ngeri dan seram tersebut tidak mahu juga beransur pergi.

"Kau takkan selamat. Kau akan mati tak lama lagi. Sama macam mereka semua. Hehe."

Kata-kata itu terngiang-ngiang di corong telinga.

Tiba-tiba...

"Fio, kau dah okey?" soal Ezz yang baru sahaja masuk ke dalam kamar miliknya.

Selepas perkara buruk berkenaan menimpa diri Fio, dia ditempatkan di bilik Ezz pula agar mudah dipantau.

Gadis itu turut berdiri di hadapan bingkai tingkap tempat Fio bersandar tubuh.

Fio menoleh kepadanya seketika sebelum menyambung menatap langit tanpa membalas apa-apa.

Bebola matanya seakan-akan bercerita sambil melukis isi hati.

Cuma dia sahaja yang mengerti.

"Hmm... kau tak seharusnya pikul beban tu sendiri, Fio. Aku dan Uncle Riz ada di sisi kau. InsyaAllah, kami boleh bantu sedaya-upaya kami asalkan kau nak berkongsi cerita." Ezz memujuk dengan nada lembut.

Setelah tragedi pelik yang berlaku tadi siang, perahu hatinya berdayungkan kegusaran teramat. Mujur sahaja mangsa keadaan tersebut selamat.

Pelbagai persoalan bertunas di dalam benak berkaitan perihal ghaib berkenaan. Masalah besarnya cuma satu-Fio berat mulut untuk menyatakan hal yang sebenarnya.

Natijahnya, mereka berdua tidak dapat menolong sepenuhnya.

"Aku selalu ada dengan kau, Fio. Aku takkan tinggalkan kau. Tapi aku mohon sangat-sangat, kau dapat bagitahu pada kami apa sebenarnya yang dah berlaku? Kenapa kau boleh muncul dari celah dinding dengan berlumuran darah tu semua? Kami panik, tahu tak?"

Sekali lagi Ezz meluah rasa cemasnya tatkala melihat keadaan Fio tadi pagi. Tidak tahu mengapa tetapi raut wajah si mangsa menyimpan berjuta keresahan yang berbalut kesakitan.

Hanya itu yang Ezz dapat baca. Selebihnya, dia sendiri langsung tidak tahu-menahu hujung pangkal cerita.

Fio yang sejak tadi membisu, kini airmatanya berambai-ambai. Ingin berbicara sepatah sekali pun tapi seperti peti suaranya tidak berfungsi di kala itu.

"Luahkan saja pada aku apa yang kau rasa. Supaya aku boleh faham dan akan bantu kau selesaikan masalah ni. Boleh ya, Fio?"

Ezz memeluk bahu Fio beberapa ketika sebelum dia berlalu keluar dari kamar - sengaja membiarkan temannya itu menjernihkan perasaan.

Tanpa mereka berdua sedari, ada 'sesuatu' yang sedang memerhati akan semua itu sambil 'ia' tersenyum sinis.

*****

ENJIN kereta Honda Civic berwarna putih dipanaskan sambil lelaki itu mengemaskan sesuatu di dalam begnya.

Ezz yang sedar akan keberadaan si pak cik, dia berjalan menuruni tangga utama.

"Eh, Uncle Riz nak pergi ke mana tu?" soalnya tanpa basa-basi.

Kelihatan Uncle Riz ralit menyiapkan sesuatu di kerusi penumpang bahagian belakang.

"Uncle ada hal. Mungkin akan lambat balik. Jadi selama uncle tak ada di rumah, Ezz tutup semua pintu dan jendela. Kuncikan sekali. Kalau ada sesiapa yang tidak dikenali, jangan bawa dia masuk. Mengerti?" pesan Uncle Riz dengan nada tegas.

Ezz mengangguk laju tanda mengerti, "Okey, uncle. No prob. Uncle pun, hati-hati memandu."

"InsyaAllah." Selepas ayat itu keluar, lelaki yang berumur 30 tahun itu memandu keluar dari kawasan vila.

Dengan perasaan yang bercampur-baur, Ezz dan Fio terpaksa ditinggalkan buat sementara waktu. Dia ingin 'melunasi' sebuah perkara tanpa kedua orang gadis berkenaan mengetahuinya.

EZZ mengelap tangannya yang basah menggunakan sehelai kain berwarna putih menandakan tugas membasuh pinggan telah selesai.

Dia berjalan pula menuju ke peti simpanan makanan.

Tup!

Lampu tiba-tiba sahaja terpadam dengan sendirinya. Gadis itu terperanjat.

"Ya Allah!" Dada diusap beberapa kali. Setelah itu, dia meraba-raba secara rawak dalam gelap untuk mencari pintu.

Tik! Tik! Tik! Bunyi air keluar dari pili. Pada mulanya, ia hanya perlahan. Tidak lama kemudian, bunyi deras air pula yang kedengaran. Kelam-kabut Ezz berjalan laju ke arah sinki.

Pili ditutup.

Tup! Pada waktu yang sama, lampu dapur menyala kembali.

"Argh, darah!" Seusai melihat cecair merah membasahi tangannya, Ezz berlari masuk ke dalam bilik.

Tombol pintu dipulas.

Kecik! Kecik! Anehnya, pintu tersebut terkunci dari dalam. Khuatir pula jika Fio telah lena. Naya dia.

Kecik! Kecik! Sekali lagi dia berusaha membuka tombol sambil mengetuk kuat permukaan pintu.

Bulu romanya sekaligus menegak apabila mendapati lampu-lampu yang ada di vila itu terpadam satu-persatu.

"Fio, buka pintu ni!" raung Ezz pula tapi tiada balasan dari dalam.

Ekor mata Ezz menyedari akan kewujudan satu sosok entiti yang sedang berdiri tidak jauh daripadanya.

Mungkin 'dia' seronok memerhati gelagat panik si manusia.

Ezz tidak menoleh sama sekali. Malah, si gadis bertungkus-lumus mendorong pintu dengan kuat menggunakan tubuhnya sendiri.

Bau busuk yang menyengat turut semerbak ke segenap vila. Mual dia rasa.

Kelakuannya itu terhenti tatkala dia mendapati entiti tanpa wajah itu berdiri di sebelahnya.

Tubuh Ezz kaku serta-merta. Dia menoleh dan matanya membulat, "Argh!!"

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status