Share

BAB 5 PT

Suasana pada pagi itu cerah dengan pancaran matahati yang menyinari seluruh pelosok bumi. Siapa sangka sebelum itu hujan telah turun dengan lebat sekitar jam lima pagi sehinggalah jam sepuluh pagi tadi. Kini walaupun bumi disinari terik matahari, persekitaran tetap terasa dingin dan nyaman.

Zain, Harith dan Kazirul berjalan menuju ke Sekolah Menengah Bintang Unggul bersama-sama pada pagi itu.

Jam menunjukkan 11.30 pagi.  Mereka di tingkatan satu bersekolah di sesi petang. Sekali sekala, langkah mereka tersimpang untuk mengelak lopak-lopak air yang masih bertakung di jalan raya. 

"Weh, kau orang dah siap nota kepentingan mempelajari Sains yang Cikgu Aslah suruh buat semalam?" tanya Zain yang terselit diantara Harith dan Kazirul. 

"Sudah," jawab Kazirul. "Kau Harith? Sudah siap nota Sains?" 

"Sudah. Eh, kau orang berdua boleh tengokkan tak? Mana tahu ada yang aku lupa nak salin." Harith berkata sambil menghentikan langkahnya seketika. 

Harith menarik zip beg sekolahnya yang bewarna hitam lalu diseluknya tangan ke dalam beg dan mencari-cari buku latihan Sainsnya. Satu persatu buku latihan diselaknya. Seketika kemudian, dia memandang ke arah Zain dan Kazirul dengan wajah cemas. 

"Alamak, aku rasa aku tertinggal buku dekat rumahlah!" Harith mengeluh hampa. 

Zain dan Kazirul tercengang memandang rakan mereka. Harith masih tidak berpuas hati lantas menjenguk kembali ke dalam begnya. Hatinya enggan menerima kenyataan bahawa bukunya tertinggal. 

"Sah! Memang buku tu dah tertinggal! Alahai nampaknya aku harus menapak ke rumah semula!" katanya dengan nada kecewa sambil menarik zip begnya semula. 

"Eh, tak payah, Harith!" Sambut Kazirul kepada Harith yang sudah mula berpatah balik.

"Apa fasal pula? Kau orang nak tengok aku kena denda bersihkan tandas ke apa ha?" Harith berpaling ke belakang tanda tidak puas hati. 

"Bukan ... Hari ni mana ada Sains. Kau ni Harith, gelabah betul la ..." Kazirul berkata sambil tersengih, cuba menahan tawa. 

Wajah Harith serta-merta berubah. Dia terus mendekati Kazirul, bahu rakannya itu ditolak sedikit kasar. "Apa fasal kau tak cakap? Kau orang sengaja nak tengok aku gelabah macam ni kan?" 

"Ala ... janganlah koyak. Kita orang sengaja nak tengok reaksi kau macam mana," Zain mencelah. 

"Ish kau orang ni! Sengaja tau!" bentak Harith. 

"Sudah, sudah. Jom kita pergi sekolah, nanti lambat pula," Zain meleraikan bentakan Harith. 

"BANGUN!" Semua pelajar 1 Inovatif bangun secara spontan setelah dikejutkan dengan satu perintah yang kedengaran tiba-tiba. 

"Assalamualaikum, Cikgu Suraya!" ucap Adrian, ketua kelas 1 Inovatif seterusnya setelah mempastikan semua pelajar bangun. Kemudian serentak bunyi suara pelajar-pelajar lain mengikuti ucapan itu.

Senada, seirama serta lantang dan bersemangat, ia sudah menggambarkan rasa keikhlasan  yang sungguh-sungguh daripada reaksi pelajar. Aksi mereka juga mempamerkan ketulusan. 

"Waalaikumussalam. Semua boleh duduk." Cikgu Suraya memberi arahan. Manis, cantik dan merdu suaranya menjadikan pelajar yang belajar dengannya terasa bertuah sekali. 

"Baiklah semua, di sekolah menenegah, selain daripada tatabahasa, penggunaan ayat, karangan dan lain-lain itu semua, kamu juga akan belajar komsas yang terdiri daripada antologi dan novel." Cikgu Suraya berucap memulakan sesi pelajaran. Para murid kelas 1 Inovatif mendengarnya dengan teliti dan fokus.

"Jadi, pada hari khamis nanti, cikgu nak kamu sediakan satu buku latihan gapen dan buku teks antologi. Boleh semua?" lanjut Cikgu Suraya lagi.

"Boleh, cikgu!" Kesemua pelajar 1 Inovatif menjawab dengan nada yang bersemangat. 

"Bagus, sekarang keluarkan buku latihan tatabahasa dan salin apa yang cikgu tulis kat depan," Cikgu Suraya memberi arahan. 

"Banyak pula kerja sekolah hari ni. Bahasa Melayu, Inggeris, Geografi, Sejarah, Matematik. Ya Allah, banyaknya." Harith berkata ketika berjalan pulang dari sekolah bersama Zain dan Kazirul.

Rumah mereka bertiga tidaklah sejauh mana. Dekat-dekat sahaja. Ibu bapa mereka pula mahu mereka berdikari, jadi mereka pun berulang-aliklah ke sekolah bersama-sama. Mereka bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara kawan malah antara keluarga dan keluarga.

"Memanglah banyak tapi kerja-kerjanya senang sebab kita baru belajar bab satu. Lagipun bab satu selalunya kan senang-senang," ujar Zain yang masih tersangkut diantara Harith dan Kazirul. 

"Ha, apa kata nanti kita buat kerja sekolah sama-sama kat rumah Zain, dan tidur kat rumah dia sehari. Jadi, tak payahlah kita balik pergi rumah Zain malam-malam buta lepas tu patah balik sebab nak pakai baju sekolah dengan kemas buku pula kan," Kazirul memberi cadangan. 

"Betul juga tu. Boleh Zain?" Harith bersetuju lalu merenung Zain yang tampak terkejut akan cadangan itu. 

"Hmm ... nanti aku tanya mak ayah aku dulu boleh ke tidak eh?" Zain akhirnya turut bersetuju. 

"Yeah! Ha, ini barulah namanya kawan," Kazirul melonjak kegembiraan. Hidung mancung terletak Zain dicubitnya.

"Sakitlah!" Zain menepuk tangan Kazirul yang mencubit hidungnya, kemudian menggosok hidungnya yang sakit kerana dicubit itu. 

USAI menunaikan solat Mahgrib dan Isyak di masjid bersama Encik Arsyad dan Puan Siti, mereka bertiga berjalan pulang ke rumah dengan berjalan kaki. Ziana tidak ikut sekali kerana ... faham-faham sendirilah ya. 

"Err mak, ayah. Zain nak cakap sikit ni, boleh?" kata Zain yang masih lagi terselit di tengah-tengah tetapi kali ini diantara Encik Arsyad dan Puan Siti pula. 

"Ha, apa dia? Cakaplah," Puan Siti menjongketkan keningnya.

"Tadi kat sekolah cikgu beri banyak kerja sekolah. Selepas tu kawan Zain yang berdua tu, Harith dengan Kazirul, dia orang nak buat kerja sekolah bersama-sama, tetapi kat rumah kita. Boleh tak?" Zain memberitahu. 

"Boleh, kalau nak belajar sama-sama. Kalau nak main game, main kat luar," Encik Arsyad tiba-tiba menyampuk. 

"Ya, Zain tahu ... Tapi disebabkan sekolah petang punya fasal, dia orang nak tidur kat rumah kita sehari. Boleh tak?" tanya Zain lagi.  

Belum sempat Encik Arsyad hendak berkata-kata, Puan Siti terlebih dahulu telah mencantas kalam yang mahu dituturkan oleh suaminya.

"Ala ... Budak-budak, apa masalahnya dia orang tidur rumah kita sehari. Kita bukannya tak kenal kawan dia yang berdua tu. Kawan sejak kecil tapi sebab lain sekolah, Zain tak rapat sangatlah dengan dia orang. Tapi ..." bicara Puan Siti terhenti setakat itu sahaja tatkala Encik Arsyad memintas kata-katanya.

"Sudah, sudah. Tak perlu banyak cakap. Abang tahu semua tu. Boleh, tapi nanti suruh dia orang tidur dalam bilik sama-sama dengan Zain," kata Encik Arsyad yang tidak mahu mendengar apa-apa lagi dari mulut isterinya. 

"Okey ayah. Thank you!" Zain melarik senyum. 

SELEPAS waktu Mahgrib pada keesokkan harinya, Kazirul dan Harith tiba di muka pintu rumah Zain bersama buku latihan, nota dan modul yang mereka mahu siapkan bersama-sama. Uniform sekolah turut dibawa bersama beserta tuala. 

"Assalamualaikum!" Harith dan Kazirul memberi salam sebaik tiba di muka pintu rumahnya.

Zain yang sudah menunggu kehadiran mereka segara pergi menyambut, "Waalaikumussalam. Ha, sampai pun kau orang berdua. Masuklah." 

Harith dan Kazirul melangkah masuk lalu bersalaman dengan mak ayah Zain. Memang itu sudah menjadi kebiasaan, sopan dan beradab. Jika ada yang mencari calon menantu, memang padanlah mereka menjadi pilihan. 

"Ha, duduklah dulu. Beg letak kat tepi pintu. Baju sekolah kamu berdua beri pada mak cik, biar mak cik sangkutkan di bilik Zain," kata Puan Siti pada Harith dan Kazirul. 

"Baik mak cik," Harith dan Kazirul tersenyum. Mereka meletakkan beg di tepi pintu lalu menyerahkan uniform sekolah mereka yang telah siap disangkutkan dengan penyidai baju kepada Puan Siti. 

"Zain, kamu layanlah dulu kawan kamu ya, ayah nak naik ke bilik. Ada kerja sikit yang ayah perlu selesaikan," ujar Encik Arsyad pada Zain. 

"Okey ayah," balas Zain ringkas. 

Encik Arsyad melangkah, mendaki tangga ke tingkat atas rumah. Zain berkalih melihat rakannya pula.

"Ha, apa tengok-tengok? Jomlah kita buat kerja kat meja sana. Mak aku dah kosongkan meja siap-siap untuk kita buat kerja," ujar Zain pada rakan-rakannya pula.

"Okey," sepatah mereka membalas. 

MEJA makan yang tadinya kosong terus penuh diseluruhi buku-buku dan peralatan alat tulis. Jangan dikatakan buku, makanan ringan pun ada! Keropok cip, buah pisang, coklat dan gula-gula pun ada. 

"Banyaknya makanan kau orang bawa ... Kita nak buat kerja sekolah ke nak berkenduri ni?" Zain membelek bungkusan kudapan ringan yang berada di atas meja. 

"Nak buat kerja kena ada banyak tenaga bukan?" tanya Kazirul sambil membuka tin minuman istonik yang dibawanya. 

"Tenaga? Kita buat kerja ni guna otak, tak payah nak bersukan pun," Harith menjawab. Sepaket kerepek pisang dibuka lalu satu cip diambil dan dikunyah di dalam mulut. 

"Yalah, tapi otak pun nak pakai tenaga juga. Kalau kau kata tenaga untuk otak tu dari ilmu dan tahap fokus, memang minta kakilah jawabnya," ujar Kazirul selamba. 

"Sudah, sudah. Jomlah kita buat kerja sekolah. Kita buat yang senang-senang dulu. Kalau tak sempat siap semua malam ni, kita sambung kat sekolah bila ada masa," kata-kata Zain itu membuatkan Harith berfikir jauh.

"Ada ke masa nak buat kat sekolah? Jadual pun sentiasa padat dan kadang tu nak rehat sekejap pun tak kesampaian," Harith bermonolog sendiri. 

Kazirul dan Zain hanya memerhatikan saja rakan mereka yang seorang ini. Suka bercakap seorang diri seolah-olah tiada siapa mahu berkawan dengannya. 

"Ha, daripada kamu makan makanan ringan tu, lebih baik kamu makan keropok lekor ni. Air coklat suam pun ada ni. Lagi bagus daripada keropok. Tapi kerepek pisang, itu boleh," Puan Siti muncul sambil menatang sepiring keropok lekor beserta jag air. 

"Ya Allah ... Terima kasih mak cik. Susah-susah je," Kazirul mengukir seraut senyuman di bibirnya.

"Tak susah, Ziana yang goreng keropok lekor ni. Mak cik yang paksa dia tolong mak cik," Puan Siti menundukkan badannya sedikit, berkata dengan nada perlahan. 

"Oh ..." Tiga sekawan itu memandang sesama sendiri.  

Sambil membuat kerja sekolah sambil menikmati keropok lekor, kerepek pisang dan air coklat suam. Malam itu juga mereka tidur sebilik bersama Zain. Tetapi disebabkan katil Zain adalah katil 'single', maka Harith dan Kazirul tidur di atas tilam toto yang telah disediakan oleh Puan Siti.

Related chapters

Latest chapter

DMCA.com Protection Status